Bini gua sangat takut pada kucing.
Ya, kucing. Gua pun tidak faham, semakin besar dan lebat bulunya semakin ketakutanlah bini gua. Kadang kadang sampai bawa nanges. Padahal haiwan neko itu begitu comel dan viral sekali di Youtube. Lainlah kalau takut pada haiwan ganas seperti naga contohnya ataupun pheonix. Barulah munasabah sedikit. Ini takut kucing? heh..(gelak kecil)
Gua pula sebagai jantan yang sejati, memang tak takut langsung pada mana mana haiwan. Setakat ular tedung dan lipan bara. Hek eleeh.....Apalagi? Binatang buas, Harimau? Singa?...tak takut! Dah kalau yang buas begitupun gua tak takut, inikan pula ulat gonggok, bapok dan kelkatu. Setakat haiwan yang begitu, gua tepis sebelah tangan aje. Eh, buat malu saja kalau jantan takut hidupan begitu.
Perihal gua tidak takut pada mana mana haiwan ini bermula 10 tahun dulu, masa itu gua menuntut ilmu kebal di puncak sebuah gunung yang tidak boleh gua khabarkan namanya. Dipendekkan cerita, usai tempoh perguruan, tok guru berpesan..
'Pergilah kau berkelana dan berkhidmat demi kebaikan bumi dan manusia. Tapi ingat anakku! Untuk mengekalkan kekebalanmu, janganlah sesekali kau mendekati dan berbaik baik dengan keluarga lipas. Jika kau gagal berbuat demikian, nescaya kekebalanmu akan terlucut serta merta!' Zaasss....dia hilang.
Habis cerita.
Minggu sudah, sedang gua enak membersihkan ketuat di dalam bilik tidur. Tiba tiba gua terdengar bini gua menjerit dari arah dapur. Tidak tunggu lama, gua bingkas bangun dan terus menuju ke arah dapur. Kain pelikat yang hampir londeh, gua ikat semula kemas. Sayup sayup kejauhan (wow, macam luas je rumah, padahal duduk flat!) kelihatan bini gua sedang menjerit dan melompat lompat ketakutan. Gua dalam hati dah risau, kena sampuk ke bini gua ini?
"Mengapa adindaku? mengapa? What happens?" gua rangkul dan tenangkan bini gua (sweet tak?)
"Lipaaaas, lipas...tu..tu..iiieee, gelilah.." Sambil tunjuk ke bawah singki. Gua dapat lihat ada seekor lipas tengah berpusing pusing tak tentu arah. Mungkin dia pun terkejut juga macam bini gua.
"Alamaaaaaak.." Bisik gua di dalam hati, punya panjang sebab gua pun terkejut juga.
Nota penting : Ingat jejantan semua, jika pasangan anda sedang menggelabah begini. Anda jangan turut menggelabah. Bencana nanti. Anda kena rileks, cool dan bijak. Ikut macam mana yang gua ajar ini.
"Ok, ok...U pergi masuk bilik dan kunci pintu. Sekarang!" Gua bagi arahan dengan tegas. Sebelah tangan masih memegang simpul kain pelikat, sebelah lagi mencapai botol penyembur Baygon (sejenis penyembur khas untuk lipas tin hijau) yang ada dekat sebelah mesin basuh (disebabkan rumah flat gua sempit, mesin basuh terpaksa gua letak dalam kawasan dapur). Mata, gua ekorkan pada bini gua. Memastikan dia selamat masuk dalam bilik dan pintu sudah berkunci. Lipas tadi masih meracau bawah sinki, mencari jalan keluar dari dapur.
Ruang dapur itu jadi sepi seketika. Kini tinggal gua, lipas itu dan botol Baygon yang kemas tergenggam di tangan. shuuuiiiiuu~ (bunyi latar belakang cerita cowboy). Gua tenung lipas itu, dan lipas itu pula seakan membalas renungan pasal tiba-tiba dia statik. Gua cuba berkomunikasi dengan lipas itu menggunakan minda dan renungan mata sahaja.
"Ok, ok....lu jantan, gua jantan. Kalau lu tak serang, gua pun tak balas, Ok? Apa kata kalau kita berdamai secara molek and we call it a night. Macam mana..Deal ke tidak?" Gua cuba berunding aman dengan lipas itu. Sekejap sekejap gua toleh pada pintu bilik, bimbang bini gua nampak gua berdiskusi rasmi dengan seekor lipas. Gua sorotkan balik mata pada lipas itu, dia masih statik tanpa jawapan.
Tiba tiba, dia kembangkan sayap dan terbang! Allahuakbar!
Punyalah menggelabah, gua cepat cepat tunduk dan spray Baygon dengan secara membabi buta. Sebelah tangan sembur, sebelah lagi tutup bahagian bawah kain pelikat. Buatnya dia terbang masuk, Sipilis!
Sembur punya sembur sampai berjerebu dalam dapur. Lantai habis berminyak, dan tekak gua pun sakit sebab tersedut bau Baigon yang perit itu. Mata gua liar mencari pihak lawan tadi. Haish, mana pulak dia pergi ni. Gua usha bawah singki, tiada. Belakang mesin basuh pun tiada. Dalam gerobok, tiada. Bawah alas kaki, tiada. Belakang rice cooker, tiaa.....eh, ha...ada! Berkerekot lipas itu, pedih. Gua capai surat khabar, kaut dan terus ke toilet. Gua keroyokkan, campak dalam lubang jamban dan tarik flush!
Brusshhhgruhgruhgruhh...bunyi air membawa bangkai lipas itu ke kawasan kumbahan yang berhampiran. Bersemadilah dikau aman di sana. Gua ketawa angkuh bercekak pinggang.
Gua segera masuk bilik.
"U tenang sahaja sayang..i dah setelkan lipas itu. I dah slow talk dan beri amaran pada dia supaya jangan berani berani ganggu u lagi" Ujar gua penuh yakin.
" U lepaskan dia ke?" Bini gua minta kepastian.
" Haish, tak. Kami berdamai, dan masa kami nak shakehand tu, i genggam dia sampai penyet!"
"Iya ke ni? Betul ke? Bukan u pun takut lipas ke?" Bini gua keliru.
"Hoih, choi! Mulut jaga sikit, kalau dengar dekat jiran jiran bagaimana? I ni punyalah jantan, takkan takut lipas kot.." Dahi gua dah start berpeluh.
" Pastu yang tadi i dengar menjerit jerit macam bapok tu sapa??"
"............................Lipas itulah!" Ujar gua tegas. "Eh, u ni kalau tak banyak tanya tak buleh ke?" Tambah gua lagi. Muka serius macam jepun.
"Wow.." Bini gua jawab. Dalam percaya tidak percaya.
Potong Tang Kona : Ingat semua, gua bukan takut. Haish, tak main la takut lipas. Gua cuma teringat pesan tok guru gua itu. Halah, setakat lipas apa ada hal.

No comments:
Post a Comment